KENYATAAN MEDIA

MENGENAI VIDEO TULAR DI MEDIA SOSIAL BERKENAAN PEMBUNGKUSAN BERAS TEMPATAN MENJADI BERAS IMPORT
04 September, Shah Alam – Pihak Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (JFC) memandang serius mengenai penularan video di media sosial dan dakwaan beras tempatan telah dibungkus semula menjadi beras import. Pihak JFC mengesahkan video yang tular telah dirakam di dalam kilang Jasmine di Tunjang, Alor Setar, Kedah pada 2 September 2023 (Sabtu). Namun dakwaan bahawa bungkusan beras yang dibuka merupakan beras tempatan seperti yang dinyatakan di dalam video tersebut adalah TIDAK BENAR. Sebaliknya ia adalah Beras Putih Import (BPI).

Pembungkusan semula BPI merupakan satu proses normal apabila berlaku kejadian kampit pecah atau beras berhabuk sewaktu kampit beras berada di kedai dan pasaraya. Proses ini dibuat untuk memastikan kualiti beras keluaran JFC sentiasa berada di dalam keadaan yang baik sewaktu dibeli oleh pelanggan kami. JFC mengamalkan polisi gantian semula kepada pemborong bagi beras-beras yang tidak menepati kualiti dan mengikut piawaiaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kekeliruan. Pihak JFC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba memburukkan nama baik
syarikat.

 

Untuk sebarang pertanyaan media, hubungi:
Farhan Hafetz
Ketua Pengurusan Jenama & Pembangunan Produk Baharu
Tel: +6017-7014 012
Emel: mfarhan@bernas.com.my

 

Mengenai Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd.
Jasmine Food Corporation Sdn Bhd merupakan syarikat pengeluar dan pengedar beras terkemuka di Malaysia dengan produk termasuk beras wangi, beras basmati, beras putih (import dan tempatan), beras istimewa, beras perang, beras pulut dan bihun beras yang diedarkan melalui rangkaian pengedar yang komprehensif di seluruh negara, termasuk pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit.